Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.
Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah
pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba
ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan
Allah SWT.
Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah
nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri
yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.
Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia
membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah
meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering
dipegangnya setiap kali berdoa.
Akhirnya, Allah mempertemukan
seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh
hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian
runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan
meninggalkan adiknya.
Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus
kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan
ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak
pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam
bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada
ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia
istimewa.
Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana,
dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat
kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin
berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat,
hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang
menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
“Kau kena
berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak
cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak
cukup hebat.”
Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.
Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa
melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak
menjadi kaya seperti abang.
Satu hari, Si Adik meninggal dunia.
Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas.
Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.
Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.
Kertas itu tertulis: ” Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku”
MasyaALLAH…
Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat
kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT.
Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak
meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si
Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si
Adik.
Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul.
Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya
menjadi makbul.
Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.
“Aku buat beginilah yang jadi begini.”
“Doa aku makbul seh!”
“Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun.”
Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.
Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa
kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa
kita.
#Moga menjadi pengajaran buat kita semua.......
Like2x..buleh i share kat fb????
BalasPadam